Selasa, 4 Februari 2020

HAZARD MANAGEMENT
                                                                               


PENGENALAN



Gambar Rajah 1: Anggota bomba dan penyelamat mencari dua buruh binaan warga Bangladesh yang dipercayai tertimbus akibat runtuhan lantai konkrit di tapak pembinaan LRT di Putra Height, Subang Jaya.

Tajuk                     :     Maut Akibat Runtuhan Lantai Konkrit
Tempat             :   Terminal Transit Aliran Ringan (LRT), Kuala Sungai Baru, Putra Height,      Subang Jaya, Selangor.
Tarikh                   :      24 Disember 2014
Sumber Artikel     :     Berita Harian & Utusan Malaysia

§  Ringkasan kemalangan:
Kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, terdapat enam pekerja sedang meletakkan simen di pelantar tingkat satu binaan bangunan tersebut manakala dua lagi pekerja berada di bawah. Bagaimanapun tapak konkrit tersebut tiba-tiba runtuh mengakibatkan kesemua mangsa jatuh lalu menghempap dua pekerja di bawah. Dua pekerja mati ditempat kejadian dan enam lagi mengalami kecederaan.

§  Faktor-faktor penyebab:
Pelantar tingkat satu yang dibina tidak mampu menampung beban simen yang diletakan.

§  Hasil pemerhatian:
Tiada pemantauan dari pegawai yang bertugas ketika itu dan pekerja yang diambil adalah pekerja yang tiada pengalaman dan kemahiran dalam sektor perbinaan.
 
§   Klasifikasi kemalangan:
Tertimbus di bawah runtuhan lantai simen konkrit

Kemalangan merupakan kejadian yang tidak diingini berlaku yang boleh mengakibatkan kecederaan, kesakitan, kematian atau kerosakan kepada harta benda. Manakala kemalangan ditempat kerja meliputi kemalangan yang berpunca dan terbit daripada pekerjaan yang dilakukan, kemalangan yang melibatkan pengendalian mesin atau peralatan dan kemalangan ditempat kerja yang berpunca dari pekerjaan. Kemalangan tempat kerja juga berpunca daripada perjalanan ulang-alik dari tempat kerja setiap hari, dari tempat kerja ke tempat makan sewaktu rehat yang dibenarkan dan kemalangan yang berkaitan dengan pekerjaan.

Dalam era ini, keselamatan dan kesihatan pekerja bukan lagi dianggap sebagai elemen yang berasingan kerana ia berkait rapat antara satu sama lain. Tempat kerja yang kurang selamat meningkatkan lagi risiko kemalangan serta kecederaan yang pastinya akan menjejaskan kesihatan. Dalam masa yang sama, pekerja yang kurang sihat adalah lebih berisiko untuk mengalami kemalangan. Kewujudan Akta Keselamatan Dan Kesihatan pekerja (OSHA) pada tahun 1994 jelas menunjukkan perkaitan dan kepentingan kedua-kedua elemen ini. Matlamat utama akta tersebut ialah untuk menghasilkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalangan semua pekerja dan majikan di Malaysia.



Gambar Rajah2: Statistik Kemalangan Pekerjaan Mengikut Sektor Sehingga April 2015

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) bagi suku pertama 2015 yang berakhir pada bulan April menunjukan sektor pengilangan, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan dan sektor pembinaan dikenal pasti penyumbang utama kes kemalangan di tempat kerja. Sebanyak 1,245 kes kemalangan tempat kerja dilapor dan bilangan itu dijangka meningkat. Daripada jumlah itu, sebanyak 52 kes melibatkan kemalangan maut
Majikan seharusnya sentiasa peka dengan aspek keselamatan pekerja dan menyediakan pelbagai peralatan keselamatan dan alat pelindung diri untuk pekerja masing-masing. Kerjasama majikan dan pekerja penting dalam menangani kes kemalangan yang berlaku di tempat kerja untuk mengurangkan jumlah kematian.

2.    TEORI PENYEBAB KEMALANGAN YANG RELEVAN
Apabila berlaku kemalangan di tempat kerja, majikan cenderung untuk mendakwa bahawa ia adalah berpunca dari kecuaian pekerja. Tetapi kecuaian pekerja bukanlah satu-satunya punca kemalangan di tempat kerja. Kemalangan bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada harta benda, tetapi ianya juga boleh menyebabkan kecederaan serius dan juga kematian. Oleh itu, untuk mengelakkan kemalangan, kita perlu mengenal pasti punca-puncanya.

Tahun lalu, beberapa teori penyebab berlakunya kemalangan telah ditubuhkan untuk menjelaskan mengapa kemalangan berlaku antaranya teori domino, teori faktor manusia, teori kemalangan dan kejadian, teori epidemiologi, teori sistem, teori tingkah laku dan teori bird’s triangle. Model berdasarkan teori-teori ini kemudiannya digunakan untuk meramal dan mencegah kemalangan daripada berlaku.

a.      Teori Domino

Gambar Rajah 3: Teori Domino

Teori ini di perkenalkan oleh Herbert W. Heinrich setelah beliau mengkaji sejumlah 75,000 laporan kemalangan industri dan beliau membuat kesimpulan hasil daripada kajian tersebut mendapati bahawa:
a.       88% punca kemalangan industri adalah disebabkan oleh tindakan tidak selamat yang dilakukan oleh pekerja
b.      10% punca kemalangan industri disebabkan oleh keadaan yang tidak selamat
c.       2% punca kemalangan industri disebabkan oleh punca-punca yang tidak dapat dielakkan.

Hasil daripada kajian itu juga, Herbert W. Heinrich mengariskan sepuluh rumusan yang kemudiannya dipanggil Axioms of Industrial Safety yang menjadi asas kepada Teori Domino. Heinrich beranggapan bahawa mereka yang berkuasa dan pembuat keputusan mengenai pengurusan kesihatan dan keselamatan perlu mengetahui tentang sepuluh kenyataan berkaitan kemalangan industri yang dikenali sebagai axsiom seperti yang berikut:
a.       Kecederaan disebabkan oleh satu rangkaian faktor yang lengkap dimana kemalangan itu sendiri merupakan salah satu daripada faktor di dalam rangkaian itu.
b.      Sesuatu kemalangan yang terjadi hanya disebabkan oleh tindakan tidak selamat oleh seseorang atau keadaan fizikal dan mekanikal yang merbahaya.
c.       Kebanyakan kemalangan adalah berpunca dari perlakuan manusia yang tidak selamat.
d.      Perlakuan tidak selamat atau keadaan yang tidak selamat tidaklah semestinya menyebabkan kemalangan atau kecerderaan.
e.       Sebab seseorang itu melakukan tindakan tidak selamat tidaklah boleh menjadi petunjuk atau pengajaran dalam memilih perlakuan yang betul
f.       Keseriusan sesuatu kemalangan tidak boleh dirancang atau tidak boleh dijangka   tetapi kemalangan itu pastinya dapat dielakkan.
g.      Satu teknik pencegahan kemalangan yang terbaik adalah sebanding dengan teknik kualiti dan produktiviti yang terbaik.
h.      Pihak pengurusan hendaklah bertanggungjawab terhadap keselamatan,          memandangkan kedudukannya sebagai majikan yang menentukan keputusan
i.        Penyelia merupakan orang penting dalam mencegah kemalangan industri. Selain daripada kos-kos langsung kemalangan seperti pampasan, kos hospital, dan ubat, terdapat juga kos-kos lain yang tidak nyata atau tidak secara langsung.

Menurut Heinrich, aksiom ini meliputi pengetahuan asas yang mesti difahami oleh pembuat keputusan mengenai pencegahan kemalangan. Program-program pencegahan yang mengambil kira semua aksiom itu adalah lebih efektif berbanding dengan program yang hanya mengambil sebahagian sahaja.  Berasaskan kepada aksiom inilah Heinrich telah membina teori penyebab kemalangan yang kemudiannya di kenali sebagai Teori Domino (Mohamad Khan 2005).  Oleh itu, pengunaan audit keselamatan dan kesihatan jelas telah digunakan oleh Heinrich dalam mengenal pasti punca setiap kemalangan berkenaan berlaku.

b.      Teori Kemalangan Petersen (Teori Kemalangan Dan Kejadian)


Gambar Rajah 4: Teori Kemalangan Petersen (Teori Kemalangan Dan Kejadian)

Teori Kemalangan Petersen merupakan salah satu teori yang boleh mewakili pendekatan kemalangan industri bagi pendekatan agensi. Pendekatan agensi merujuk kepada kelemahan dalam pengurusan sesebuah organisasi sehingga menyebabkan kemalangan berlaku di tempat kerja. Petersen (2003) mengusulkan tiga elemen dalam teorinya iaitu elemen perangkap ergonomik, keputusan yang mendorong kesilapan dan kegagalan sistem.

Faktor kegagalan sistem merupakan penyumbang utama kepada teori Petersen. Sistem tersebut merujuk kepada sistem pengurusan yang dilaksanakan dalam aspek keselamatan di sesebuah tempat kerja atau organisasi. Sistem semestinya melibatkan pihak pengurusan di mana menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan segala peraturan yang dilaksanakan bersesuaian dan dipatuhi pekerja. Kegagalan sistem biasanya disebabkan oleh beberapa tindakan atau pendekatan yang tidak memenuhi syarat-syarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti berikut:
a.       Pihak pengurusan tidak melaksanakan polisi keselamatan yang komprehensif.
b.      Tanggungjawab dan kuasa yang berkaitan dengan keselamatan tidak ditakrifkan dengan jelas.
c.       Prosedur keselamatan seperti pengukuran, pemeriksaan, pembetulan dan penyiasatan diabaikan atau diberi perhatian yang mencukupi.
d.      Pekerja tidak menerima orientasi yang betul.
e.       Pekerja tidak diberi latihan keselamatan yang mencukupi.

Petersen mengemukakan bahawa faktor organisasi adalah penyumbang kepada kemalangan industri. Hal ini merangkumi aspek polisi dan prosedur keselamatan yang longgar, tiada latihan pekerja, pemeriksaan mutu dan tidak menggunakan piawaian dalam pengendalian mesin di kilang. Faktor-faktor tersebut akan mendatangkan kemalangan dan seterusnya kecederaan kepada pekerja. Petersen telah menerangkan dengan jelas bahawa faktor organisasi mempengaruhi kelakuan tidak selamat pekerja. Kesedaran dan tindakan perlu sentiasa dititik beratkan oleh jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di organisasi.

3.    FAKTOR-FAKTOR KEMALANGAN

Pengamalan budaya kerja yang selamat dan sihat memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam organisasi.  Golongan pekerja sering menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak menyediakan peralatan yang selamat manakala pihak pengurusan menyalahkan pekerja tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Jika keadaan ini berterusan dan berlaku kemalangan ia akan merugikan kedua-dua belah pihak.  Kecenderungan utama berlaku kemalangan di tempat kerja boleh dibahagikan kepada beberapa faktor utama iaitu punca asas dan punca langsung.  Punca asas kemalangan boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

a.       Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran termasuklah masalah dalam penempatan barang dan peralatan yang berkemungkinan menghalang pergerakan manusia disekitar tempat kerja, ianya mungkin boleh mendatangkan kemalangan. Lampu yang tidak mencukupi dan kualiti pengudaraan yang tidak baik boleh menyebabkan kemerosotan pada daya penglihatan dan masalah penafasan dalam jangka masa panjang.

Penggunaan bahan-bahan yang berbahaya tanpa menggunakan pelindungan yang mencukupi dan pengendalian yang betul, sama ada ianya digunakan sebagai bahan mentah atau produk perantaraan bukan sahaja membahayakan pekerja tetapi ianya boleh menyebabkan pencemaran kepada kawasan sekitar.

b.      Faktor Peralatan
Dalam sektor pembuatan masa kini, penggunaan peralatan canggih seperti penggunaan robot dan mesin automatik yang digunakan untuk menghasilkan barangan. Penggunaan peralatan canggih dari segi kos adalah lebih efektif dan cekap namum tidak dinafikan ianya juga mungkin menjadi punca kepada kemalangan ditempat kerja, ini kerana ianya masih memerlukan tenaga manusia untuk mengendalikan operasi dengan betul.

Penggunaan mesin usang dan penggunaan mesin secara berterusan juga boleh membawa kepada kerosakan yang disebabkan penggunaaan berlebihan yang akan mengakibatkan kemalangan.

c.       Faktor manusia
Setiap sistem kerja melibatkan tiga unsur iaitu manusia, mesin dan alam sekitar. Manusia adalah elemen yang paling penting, kerana tanpanya kerja didapat dapat diselesaikan. Oleh demikian, adalah tidak menghairankan, bahawa punca kemalangan adalah faktor manusia. Faktor manusia seperti kecuaian pekerja, latihan dan maklumat kerja yang tidak mencukupi, umur dan kesihatan pekerja dan kegagalan mengikut peraturan yang ditetapkan menjadi punca kemalangan ditempat kerja.

Kemalangan sering berlaku apabila seseorang pekerja itu cuai semasa menjalankan tugas, seperti tidak menggunakan kasut dan topi keselamatan semasa berada ditapak pembinaan. Kegagalan majikan untuk menyediakan latihan dan meklumat bagaimana kerja itu hendak dilaksanakan boleh menyebabkan kemalangan maut. Sebagai contoh, pekerja yang tidak terlatih dalam pendawaian elektrik boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada diri atau rakan sekerja semasa proses pendawaian.

Apabila seseorang pekerja yang diambil bekerja, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira antaranya faktor umur dan kesihatan. Kegagalan majikan untuk mengesan penyakit yang sedia ada pada pekerjanya boleh menyumbang kepada kemalangan. Sebagai contoh, jika seorang pekerja menghidapi masalah jangtung dan terus bekerja dalam persekitaran yang berat dan sesuai, maka dia lebih terdedah kepada serangan jantung berbanding orang yang sihat.

4.    PENGESYORAN YANG REALISTIK UNTUK MENGURANGKAN KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA

Setiap organisasi memainkan peranan yang sangat penting dalam aktiviti pembangunan dan kemajuan negara. Tenaga kerja yang profesional dan mahir diperlukan untuk memastikan setiap organisasi terus memacu kehadapan, membangun dan berkembang pesat. Oleh itu, terdapat beberapa keperluan yang mana pekerja dan majikan perlu bekerjasama bagi memastikan tenaga kerja diberi pendedahan yang secukupnya mengenai program keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Penyakit atau kemalangan di tempat kerja yang disebabkan oleh persekitaran tempat kerja yang berbahaya bukan sahaja akan memberi impak kepada pekerja bahkan kepada keluarganya. Majikan akan turut terjejas kerana ia melibatkan kos secara langsung dan tidak langsung bagi perubatan, kerja yang tertangguh, kos pengurusan yang tidak diperlukan dan lain-lain, yang mana akan meningkatkan jumlah kos keseluruhan projek pembinaan.

Terdapat beberapa syor atau cadangan yang realistik untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja antaranya:

a.      Setiap organisasi perlu memastikan bahawa sistem pengurusan keselamatan dilaksanakan di tempat kerja dan diberi pengawasan serta pemantauan yang berterusan

Majikan perlu memastikan setiap pekerja wajib menghadiri kursus induksi keselamatan bagi memastikan mereka patuh kepada akta dan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan lain-lain. Pencegahan kemalangan di tempat kerja akan menjadi efektif sekiranya majikan dan pekerja sedar akan kepentingan mempunyai budaya dan tempat kerja yang selamat dan sihat. Setiap majikan dan pekerja perlu meningkatkan usaha bagi membendung kemalangan di tempat kerja. Hal ini tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Penglibatan setiap orang adalah penting bagi memastikan budaya keselamatan yang menyeluruh organisasi dapat dicapai. Jika kemalangan yang berlaku itu disebabkan oleh masalah mekanikal atau kejadian semula jadi, ia tidak dapat dibantu tetapi sekurang-kurangnya ianya boleh mengurangkan bilangan kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian, ketidakcekapan dan kelalaian.

b.       Menjalankan audit keselamatan dan pemantauan serta pengawalan yang berterusan

Audit keselamatan dan kesihatan merupakan satu proses yang tersusun bagi mengumpul maklumat berkenaan dengan keberkesanan, keefisyenan dan juga kebolehpercayaan sesuatu sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan dan seterusnya merangka pelan untuk memperbaiki kelemahan (Health and Safety Executive, 2000). Menurut Wallace (1995) pula audit dilihat sebagai pengesahan secara langsung sesuatu aktiviti dengan menggunakan pendekatan sistematik untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dengan cara membandingkan apa yang ada dan yang dilakukan dengan standard, amalan dan undang-undang.

Pelbagai nama diberikan kepada aktiviti ini antaranya pemeriksaan keselamatan, analisa dan penyelidikan keselamatan, lawatan mengejut dan sebagainya (Kamal Halili, 2001). Walau apapun, yang pentingnya audit keselamatan difahami sebagai satu proses memantau aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan menilai ke atas sebarang aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan di tempat kerja secara berkala.

Audit keselamatan dilaksanakan adalah bertujuan untuk menilai tahap keberkesanan sistem keselamatan yang dibuat dalam sesebuah organisasi, di samping mencari kekuatan dan kelemahan organisasi bagi mengenalpasti langkah-langkah pembaikan yang boleh diambil. Perlaksanaan yang sempurna dan berterusan menunjukkan komitmen dan iltizam yang tinggi daripada pihak pengurusan secara tidak langsung memotivasikan pekerja betapa pentingnya menitikberatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

c.       Mempertingkatkan kekemasan (housekeeping) di tempat kerja

Mempertingkatkan kekemasan (housekeeping) di tempat kerja dapat mengurangkan hazard fizikal di kawasan tempat kerja. Hazard di organisasi boleh dikategorikan kepada empat kategori iaitu fizikal, kimia, biologi dan ergonomik. Hazard fizikal terdiri daripada hazard yang berkaitan dengan kejutan elektrik, peralatan atau mesin, pencahayaan dan juga suhu di tempat kerja. Hazard Biologi pula menjurus kepada keadaan sistem pendingin udara didalam organisasi yang mana akan mempengaruhi emosi dan kesihatan pekerja. Debu, gas, wasap dan juga rokok pula dikategorikan sebagai hazard kimia. Hazard yang berkaitan tekanan mental, fizikal di kategorikan sebagai hazard ergonomik.

Antara kemalangan yang berlaku di sebabkan hazard yang ada di organisasi ialah, tergelincir atau tersangkut pada halangan wayar dan permaidani rosak di lantai pejabat. Kejutan elektrik juga di kategorikan kemalangan yang berlaku disebabkan kecuaian yang mana wayar atau peralatan elektrik tidak diselenggara dengan baik dan seterusnya menyebabkan wujudnya hazard fizikal. "Sick Building syndrome" merupakan suatu sindrom penyakit yang mana pekerja akan berkeadaan tidak sihat apabila datang ke pejabat. Ini disebakan suasana dan keadaan di pejabat yang sesak, tiada pengudaraan yang baik dan juga pencahayaan yang tidak sesuai. Penyelenggaraan alat elektrikal dan alat penghawa dingin secara berkala juga dapat mengurangkan risiko hazard fizikal dan biologi di tempat kerja.

Dengan memberi penekanan kepada kekemasan (housekeeping) di tempat kerja boleh menjadi faktor yang menambahkan keceriaan dan mengurangkan hazard fizikal di kawasan tempat kerja dan akan mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan selesa.

d.      Memberi penekankan terhadap program  pendidikan  serta  latihan,  kaunseling  dan  corak  aturan  kerja  yang  bersesuaian  dengan  prinsip keselamatan  kerja.

Menurut Mohd Yusof (2000) dalam kajiannya menyatakan bahawa penyeliaan yang efektif akan dapat  mengurangkan  kemalangan,  kerana  penyelia  mengetahui  tahap  perlaksanaan  kerja,  sama  ada kerja  mengikut  maklumat,  arahan  kerja  selamat  dan  latihan  yang  telah  diberi.  Sekiranya  arahan  kerja selamat  kurang  berkesan,  ia  dapat  dikemas kini dan  dipertingkatkan,  sekiranya  arahan  kerja  selamat tidak  dipatuhi,  tindakan  boleh  diambil  terhadap  pekerja  kerana  mendedahkan  diri  mereka  kepada bahaya.

Kegagalan  majikan  merupakan  antara  penyumbang  kepada  berlakunya  kemalangan  di  tempat kerja. Di dalam satu kajian yang dijalankan di kalangan pekerja-pekerja industri di sekitar Lembah Klang dan  Pulau  Pinang,  Mohd  Yusof  (2000)  cuba  meninjau  tahap  kesedaran  di  tempat  kerja  masing-masing. Hasil  kajian,  berdasarkan  maklum  balas  100  orang  responden  mendapati  bahawa  85%  menyatakan bahawa   kekurangan   dan   kegagalan   pihak   pengurusan   telah   menyebabkan   banyaknya   berlaku kemalangan yang tidak diingini.

Petikan   dari   "Indah   Water   Konsortium - Health   and   Safety   Management  Component" menyatakan  bahawa  program  latihan  yang  dianggap  berjaya  mesti  mempunyai  elemen-elemen  yang berikut:
a.       Tiada siapa kakitangan boleh memulakan kerja sehinggalah ia diberi latihan untuk menjalankan kerja tersebut.
b.      Latihan  adalah  wajib  untuk  semua  peringkat  kakitangan dari  pengurus  sehingga ke  pekerja bawahan.
c.       Latihan mestilah merangkumi pengenalan hazard penilaian risiko serta langkah pencegahan dalam setiap aktiviti pekerjaan yang bakal dilaksanakan.
d.      Latihan perlu diselia supaya program mencapai objektif yang ditetapkan.
e.       Peserta  latihan  perlu  dinilai  untuk  mengetahui  tahap  pemahaman  dan  tahap  penerimaan  latihan yang diberi.
f.       Menyimpan rekod latihan setiap kakitangan bagi rujukan masa hadapan

5.    KESIMPULAN

Kemalangan merupakan kejadian yang tidak diingini berlaku yang boleh mengakibatkan kecederaan, kesakitan, kematian atau kerosakan kepada harta benda. Manakala kemalangan ditempat kerja meliputi kemalangan yang berpunca dan terbit daripada pekerjaan yang dilakukan, kemalangan yang melibatkan pengendalian mesin atau peralatan dan kemalangan ditempat kerja yang berpunca dari pekerjaan. Kemalangan tempat kerja juga berpunca daripada perjalanan ulang-alik dari tempat kerja setiap hari, dari tempat kerja ke tempat makan sewaktu rehat yang dibenarkan dan kemalangan yang berkaitan dengan pekerjaan.

Teori penyebab berlakunya kemalangan telah ditubuhkan untuk menjelaskan mengapa kemalangan berlaku antaranya teori domino, teori faktor manusia, teori kemalangan dan kejadian, teori epidemiologi, teori sistem, teori tingkah laku dan teori bird’s triangle. Model berdasarkan teori-teori telah digunakan untuk meramal dan mencegah kemalangan daripada berlaku.

Punca kemalangan ditempat kerja boleh dibahagikan kepada tiga faktor iaitu faktor persekitaran, faktor peralatan dan faktor manusia. Majikan perlu mengambil berkaitan dengan aspek keselamatan pekerja dan perlu menyediakan pelbagai peralatan keselamatan dan alat pelindung diri untuk pekerja masing-masing. Kerjasama majikan dan pekerja penting dalam menangani dan megelakkan kes kemalangan yang berlaku di tempat kerja untuk mengurangkan jumlah kematian.

PENGAJIAN ISLAM


Menurut Kamus Dewan Dan Pustaka edisi keempat mendefinisikan tamadun sebagai keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangaan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi peradaban. Perkataan tamadun dikatakan berasal daripada Bahasa Arab dengan kata dasar ‘da-na’ yang bererti beragama. Manakala daripada kata ‘da-na’ ini pula muncul kata madanna serta tamaddana yang kedua-duanya membawa maksud mengasaskan dan membina kehidupan perbandaran dan kehalusan budi pekerti. Seterusnya dari perkataan tamaddana itulah lahirnya perkataan tamadun.
Walaupun perkataan tamadun yang digunakan pada masa kini merujuk kepada suasana kehidupan yang maju dari segi fizikal dan moralnya, namun oleh kerana ia berasal dari kata dasar da-na yang bererti agama, maka sudah tentu maksud sebenar tamadun itu boleh diertikan dengan satu suasana kehidupan yang maju dari segi ilmu, material, budaya dan kerohanian berteraskan kepada nilai-nilai dan kepercayaan keagamaan yang bersumberkan wahyu al-Quran dan al-Hadith.
Istilah terawal yang digunakan untuk menghuraikan tamadun secara ilmiah telah dipelopori oleh Ibn Khaldun iaitu pengasas ilmu ketamadunan pada abad ke-14. Ibn Khaldun telah menggunakan dua istilah utama iaitu Umran Dan Hadarah. Umran merujuk kepada kawasan tanah atau rumah yang didiami serta segolongan penduduk yang menetap dalam suasana yang subur dan makmur. Manakala Hadarah pula merujuk kepada suatu daerah, kota, Bandar, kampung, atau tanah yang diusahakan.

Pada abad ke-19 iaitu selepas 500 tahun kemudian, barulah ditemui perkataan dalam bahasa inggeris yang sama erti dengan Umran dan Hadarah iaitu civilisation. Perkataan civilization berasal bermaksud Bandar atau kota. Menurut E.B Taylor, yang merupakan seorang ahli antropologi, civilisation merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat.

Tamadun melayu telah mengalami proses perkembangan yang lama dan telah melalui beberapa manifestasi yang berbeza. Penerimaan agama Islam sebagai asas tamadun melayu merupakan perkembangan yang paling penting dan membentuk sebuah tamadun melayu Islam yang berjaya. Nilai yang menjadi asas kepada tamadun melayu adalah berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai-nilai ini berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam seperti saling hormat menghormati antara satu sama lain, bertimbang rasa, sopan santun, dan budi pekerti. Nilai-nilai ini dapat kita lihat menerusi karya-karya filem arahan Tan Sri P.Ramlee antara menerusi filem Pendekar bujang lapok.

Tan Sri P. Ramlee merupakan seorang karyawan yang unik dimana beliau dapat melihat filem sebagai satu medium seni yang amat berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada bangsa dan agama. P. Ramlee membuat pelbagai kritikan, sindiran dan teguran yang berkaitan dengan aspek moral dan spiritual yang dibuat dengan cara dan gaya yang lembut dan amat tersirat yang sesuai dengan tuntutan agama dan budaya. P. Ramlee mengajak audiens agar tidak melupakan peradaban dan akhlak murni yang terdapat didalam budaya melayu walaupun sudah maju dari segi material.


  CIRI-CIRI TAMADUN DALAM BABAK FILEM PENDEKAR BUJANG LAPOK BERSERTA CONTOH

Tamadun melayu sebelum kedatangan Islam menerima lebih banyak pengaruh yang berasaskan kepada kepercayaan unsur ajaran hinduisme, animisme, buddhisme, dinammisme, hyang, premis dan lain-lain. Namun setelah perkembangan tamadun Islam sedunia, Tanah Melayu tidak terkecuali menerima ajaran sunnah yang telah dibawa oleh nabi Muhammad S.A.W.
Antara ciri-ciri tamadun adalah seperti yang berikut:

a)      Bahasa Dan Sistem Tulisan
Bahasa dan tulisan menjadi alat untuk berkomunikasi, untuk merakam dan menyampaikan warisan mereka kepada golongan yang akan datang sebagai khazanah tamadun mereka. Perkembangan ekonomi dan perdagangan berkait rapat dengan perkembangan sistem tulisan dan bahasa. Kemajuan dalam sistem tulisan dan bahasa memudahkan dan menggalakkan lagi perniagaan dan interaksi antara masyarakat Negara yang belainan. Tulian yang terawal merupakan tulisan lukisan (piktograf), terutamanya di tamadun sumeria dan mesir. Seterusnya, Hieroglif (Tamadun Purba), Cuneiform (Tamadum Mesopotamia), Ideogram (Tamadun Hwang Ho)

Penggunaan bahasa dan sistem tulisan menerusi filem pendekar bujang lapok dapat kita lihat melalui papan tanda yang diguna pakai ketika itu antaranya papan tanda “Penambang Sampan Sungai Kemunting” pada minit 02:50, papan tanda “Jalan Kg. Pinang Sebatang” pada minit 21:49, papan tanda “Sekolah Umum Buta Huruf” pada minit 22:30. Penggunaan bahasa dan sistem tulisan juga dapat dilihat ketika Aini (pembantu rumah Pendekar Mustar) membaca surat yang dikirim oleh tunangnya dan ketika membaca surat untuk pendekar bujang lapok yang dikirim oleh Ros (anak Pendekar Mustar).

b)      Urbanisasi / Pembentukan Bandar
Terdapat penempatan khas bagi sesuatu masyarakat manusia sehingga mereka dapat mewujudkan sebuah Negara, kota, Bandar, dan lain-lain. Negara kota ini akan menjadi tumpuan kegiatan ekonomi manusia, pusat perdagangan bagi penempatan-penempatan yang ada disekitarnya. Contoh Negara kota yang terdapat pada zaman tersebut ialah Negara kota Ur, Urech dan Kish di lembah Tigris-Eupharates di Sumeria dan Mohenjo Daro dan Harappa di lembah Indus India.

c)      Stratifikasi sosial
Perkembangan kota, Bandar dan lain-lain akan melahirkan satu masyarakat yang mempu yai organisasi social yang tersusun. Setiap individu menjadi anggota dalam satu lapisan masyarakat yang tersusun dan memain peranan terentu mengikut kedudukannya dalam lapisan masyarakat. Raja mempunyai kedudukan yang paling tinggi diikuti golongan pendeta dan bangsawan. Golongan pemerintah ini diikuti oleh golongan yang diperintah seperti rakyat bebas, petani dan golongan artisan. Golongan yang mempunyai kedudukan yang paling rendah ialah hamba abdi.

Rupa dan kostum protagonis dan antagonis dalam filem pendekar bujang lapok jelas menggambarkan perwatakan serta kedudukan dalam masyarakat. Pak Mustar dan tiga pemuda memakai baju yang menjadi petanda bahawa mereka adalah dari kaum Melayu dan juga mereka terdiri dari kelas pekerja. Pemilik feri memakai baju dan topi putih serta memegang tongkat yang menunjukkan statusnya sebagai orang kaya dan ada mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Ia juga menampakkan sifat kapitalis dan ke Baratan iaitu merujuk kepada penjajah British.

d)     Agama Dan Kepercayaan
Setiap masyarakat hidup dalam suatu sistem kepercayaan yang unik dan berbeza-beza. Sistem kepercayaan ini disebut agama. Sebagai contoh, tamadun terdahulu mempercayai kepercayaan animisme iaitu unsur alam yang dikawal oleh semangat. Semangat boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan contohnya memuja bukit bukau, laut dan sebagainya. Masyarakat tamadun awal juga mempercayai politeisme iaitu mempercayai wujudnya banyak tuhan. Mereka mempercayai tuhan bulan, tuhan matahari, tuhan ibu, tuhan sungai dan sebagainya.

Agama dan kepercayaan yang terdapat didalam filem Pendekar bujang lapok adalah Agama Islam, ini dapat dilihat ketika Pendekar Mustar memerintahkan 3 pendekar bujang lapok belajar di Sekolah Umum Buta Huruf bergurukan Cikgu Rosnah, ini dapat dikuatkan lagi dengan bukti ketika Ramlee (P. Ramlee) bertapa di tanah perkuburan jelas kelihatan batu nisan yang menjadi tanda setiap kubur yang ada.

NILAI-NILAI KEMANUSIAN YANG TERDAPAT DALAM FILEM PENDEKAR BUJANG LAPOK DAN PERBANDINGAN DENGAN NILAI-NILAI KEMANUSIAN MASA KINI

Nilai-nilai kemanusian atau nilai-nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam menjaga hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan manakala menurut Wan Mohd. Zahid (1988) pula, nilai kemanusian boleh ditakrifkan sebagai tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.
Manusia merupakan makhluk yang tertinggi di antara makhluk ciptaan Tuhan sehingga nilai - nilai kemanusiaan tersebut mencerminkan kedudukan manusia sebagai makhluk tertinggi di antara makluk - makhluk lain. Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat. 
Menerusi filem Pendekar bujang lapok karya Tan Sri P. Ramlee banyak nilai-nilai kemanusian diterapkan untuk menyampaikan saranan dan kiasan secara halus kepada orang melayu secara khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran di zaman moden. Antara nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah:

1.      Sikap Berbudi Bahasa
Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia, dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain. Sepanjang filem yang berdurasi 01:44 minit antara babak yang menonjolkan nilai budi bahasa ialah ketika Ajis, Ramlee dan Sudin bertemu dengan orang yang lebih tua iaitu Pendekar Mustar untuk meminta beliau mengajar ilmu persilatan. Nilai budi bahasa juga diselitkan menerusi lagu “Maafkan Kami” penggunaan bahasa yang lemah lembut adalah bersesuaian untuk meminta maaf daripada seseorang.

Nilai budi bahasa pada hari ini kian terhakis dek perubahan zaman. Para remaja zaman kini lebih terikut dengan budaya kebaratan, kemunculan pelbagai gaya bahasa baharu seperti Hipster, Ravers, Punk, Hip-Hop dan sebagainya banyak menghakis budi bahasa terutamanya ketika bercakap dengan orang yang lebih tua.

2.      Semangat Setia Kawan
Semangat setia kawan ini boleh ditafsirkan sebagai perasaan bersatu, sependapat dan berkepentingan bersama. Semangat setia kawan secara umumnya adalah rasa ditunjukkan dalam bentuk toleransi kepada orang lain, serta bersedia mengulurkan tangan apabila diperlukan.

Semangat setia kawan dalam filem Pendekar bujang lapok ini secara terang-terangan telah diterapkan, mereka bertiga (Ramlee, Aziz dan Sudin) selalu sentiasa bersama ketika senang mahupun susah dan mereka sanggup menghulurkan bantuan kepada Pendekar Mustar untuk menentang penjahat yang telah diculik anaknya. Nilai setia kawan pada hari ini tidak dinafi masih lagi wujud dikalangan para remaja tetapi ianya lebih menjurus ke arah yang negatif. Sering kali kita lihat atau baca di media massa semangat setia kawan digunakan untuk melakukan pekara yang tidak bermoral seperti melakukan jenayah, terlibat dengan kongsi gelap dan sebagainya.

3.      Kerjasama / Muafakat
Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka edisi keempat kerjasama boleh didefinisikan sebagai bersama-sama atau saling membantu (antara dua atau beberapa pihak), gotong royong (antara semua pihak yang telibat amat perlu untuk menjayakan sesuatu projek), sumbangan pelbagai rupa (bersifat bantuan tenaga, sokongan, persefahaman dan lain-lain) dari satu pihak kepada pihak yang lain untuk faedah bersama.

Semangat kerjasama atau muafakat telah ditekankan menerusi filem Pendekar Bujang Lapok pada minit ke 53:30 dimana Pendekar Mustar bersama dengan Ajis, Ramlee dan Sudin bersama-sama bergotong-royong membersihkan halaman rumah. Semangat kerjasama atau muafakat masa kini pula makin terhakis saban hari. Semangat kerjasama dan muafakat ini hanya dapat kita lihat di kampung semasa kenduri atau majlis-majlis perkahwinan manakala di bandar pula semangat kerjasama ini kurang diamalkan lagi mungkin disebabkan faktor kesibukan bekerja atau masa.

4.      Hormat-menghormati
Sikap hormat-menghormati adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji dalam Islam. Antara contoh-contoh sifat saling hormat-menghormati itu ialah memberi layanan mesra dan sopan, saling bekerjasama, saling menghargai antara satu sama lain dan menghargai budi serta jasa orang lain. Selain itu, dalam pergaulan seharian, kita juga dituntut untuk berakhlak mulia seperti baik dalam bertutur kata, perilaku bahkan ia menjadi syarat kesempurnaan Iman seorang mukmin.

Akhir-akhir ini, sifat saling hormat-menghormati ini telah mula terhakis sedikit demi sedikit daripada amalan umat Islam. Apabila hormat-menghormati ini sudah tiada, ia bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada hubungan sesama manusia malah ia akan menyebabkan imej Islam itu akan dipandang negatif oleh pelbagai pihak.

      SUMBANGAN TAMADUN ISLAM ZAMAN TERSEBUT BERSERTA CONTOH DARI FILEM

Sebelum kedatangan Islam, agama dan budaya Hindu Buddha sudah bertapak kukuh dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Alam Melayu hingga berabad-abad lamanya. Agama dan budaya ini begitu kuat dan sangat jelas mempengaruhi sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Alam Melayu.
Kedatangan Islam telah membawa banyak perubahan dan kesan kepada corak pemikiran dan sosio budaya masyarakat Melayu. Agama Islam membawa ajaran dan tamadun yang lebih tinggi dan lengkap, lebih rasional dan logik serta lebih mudah diterima oleh masyarakat Melayu. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah, masyarakat di Alam Melayu dengan sendiri menolak kepercayaan tahlul Hindu dan fahaman Animisme. Akhirnya Tamadun Islam sedikit demi sedikit telah berjaya melunturkan kegemilangan tamadun Hindu sebelumnya di Alam Melayu.

Antara sumbangan tamadun Islam zaman tersebut ialah:

1.      Kesedaran Tentang Kepentingan Ilmu Pengetahuan
Kedatangan Islam telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat ke arah bersifat ilmiah dan saintifik serta dapat meninggalkan era sebelumnya yang mengutamakan sesuatu yang bersifat tahyul dan khayalan untuk menuju ke sesuatu yang berbentuk   realistik.

Filem Pendekar bujang lapok menekankan kesedaran tentang ilmu pengetahuan. Ini dapat dilihat semasa Ajis, Ramlee dan Sudin menuju ke Kampung Pinang Sebatang untuk memcari Pendekar Mustar bagi menuntut ilmu persilatan. Kesedaran tentang ilmu pengetahuan filem ini juga dikuatkan lagi dengan bukti ketika Pendekar Mustar mengarahkan Ajis, Ramlee dan Sudin masuk ke Sekolah Umum Buta Huruf apabila mengetahui mereka semua tidak tahu menulis dan membaca.

2.      Perkembangan Bahasa Dan Penulisan
Kedatangan Islam ke Alam Melayu juga telah berjaya memartabatkan bahasa Melayu   dengan cara membentuk para penggunanya menuturkan perkara - perkara yang   bersifat ilmiah, membicarakan persoalan metafizik, falsafah dan saintifik. Isu- isu sebegini sukar didapati sebelum kedatangan Islam.

Kedatangan  Islam  di  rantau  ini  telah  memperkenalkan tulisan  jawi  dalam  bahasa  Melayu,  tulisan  ini  mempunyai hubungan yang  rapat  dengan  tulisan  atau  huruf  Arab  sebagai  bahasa  al-Qur’an dan huruf Parsi. Seiring dengan kemunculan bahasa Melayu bertulisan jawi tersebut maka bermulalah perkembangan sastera tulisan, sedangkan sebelumnya cuma terdapat sasteralisan sahaja. Dengan itu, fungsi penulisan dan kesusasteraan telah bertukar daripada konsep berhibur semata-mata kepada pendidikan keilmuan.

3.      Pembaharuan Dalam Aspek Sosial
Antara ciri - ciri sosial yang dibawa oleh tamadun Islam ialah persamaan taraf dan persaudaraan Islam antara semua anggota masyarakatnya, sehingga tergugat  kedudukan  sistem kasta  dan  perhambaan  serta  perbezaan  taraf  di  kalangan  mereka. Dengan terhapusnya sistem kasta, Islam telah menggantikannya dengan memperkenalkan sistem atau konsep persamaan taraf dan persaudaraan Islam, malah berjaya mewujudkan perpaduan, kemesraan dan semangat bantu membantu antara satu sama lain.

5.      Penghapusan Sistem Kasta
Islam telah memperkenalkan konsep sama rata atau unsuredemokrasi sebagai penghapusan sistem kasta Hindu yang telah membahagikan penduduk alam melayu kepada beberapa susun lapis seperti di India. Islam juga telah membentuk perpaduan di kalangan penduduk alam melayu melalui konsep Ummah atau masyarakat Islam. Proses perpaduan dicapai melalui perlakuan ibadat termasuk mengerjakan Haji.

    IKTIBAR DARI FILEM DAN KAITAN DENGAN SUASANA MASA KINI

1.      Kita Hendaklah Sentiasa Bersyukur Diatas Setiap Nikmat Pemberiannya
Taukeh feri sebagai pemilik feri seharusnya syukur di atas kekayaan yang diberikan Tuhan. Sebaliknya dia angkuh dengan kekayaan dan menunjukkan sifat buruknya dengan menyuruh pekerja-pekerja membelasah Pendekar Mustar, dan kemudian menculik Ros untuk dijadikan mangsa nafsunya. Sifat buruk taukeh feri itu tercermin pada perangai pekerja- pekerjanya yang menunjukkan sifat yang agresif.

2.      Sikap Diskriminasi Perlu Dibendung
Diskriminasi merujuk kepada pelayanan yang tidak adil terhadap individu tertentu, di mana layanan ini dibuat berdasarkan kumpulan yang diwakili oleh individu berkenaan. Diskriminasi merupakan suatu amalan yang biasa dijumpai dalam masyarakat manusia. Ia berpunca daripada kecenderungan manusia untuk membeza-bezakan manusia. Dalam Filem pendekar bujang lapok sekuen bermula di jeti, ketika orang ramai yang menunggu untuk menaiki sampan. Walaupun mereka sudah lama menunggu, pekerja-pekerja feri tidak menghiraukan rungutan mereka malah mendahulukan gadis-gadis cantik yang baru saja tiba.

Zaman masa kini diskriminasi dapat kita lihat apabila rakyat Malaysia sendiri dinafikan hak untuk bekerja kerana para majikan di Malaysia lebih gemar mengajikan pekerja warga asing disebabkan faktor upah yang murah.

3.      Kita Perlu Sentiasa Beristiqamah Dalam Setiap Urusan 
Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang itu, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah cukup teguh. Untuk mempertahankan sesuatu, kita haruslah mempunyai kekuatan untuk mempertahankannya, apatah lagi sekiranya sesuatu yang kita ingin pertahankan itu perkara yang diluar dari kebiasaan ataupun sesuatu itu kelihatan asing bagi orang ramai. Tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, ramai orang yang suruh bersabar tetapi tidak ramai mampu bersabar. Di masa kini ramai orang yang ingin menjadi orang yang penting disisi masyarakat, namun tidak ramai yang ingin menjadi orang yang baik disisi masyarakat. Disinilah perlunya istiqamah dalam diri kita, iaitu patuh dan tunduk dengan segala arahan dan larangan Allah S.W.T. Sebagai hambanya, dalam setiap urusan kita, haruslah kita cari terlebih dahulu keredhaanya, bukannya keredhaan sesama makhluk.

4.      Menuntut Ilmu Tanpa Mengenal Putus Asa
Semua manusia menyedari akan kepentingan ilmu tetapi tidak semua yang mampu bertahan dalam berjihad menuntut ilmu. Bak kata pepatah Arab, "Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad". Dalam Islam sendiri menekankan menuntut ilmu, hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”. (riwayat Muslim).

Ajis, Ramlee dan Sudin menempuh pelbagai cabaran ketika menuntut ilmu dengan Pendekar Mustar antaranya mereka bertiga perlu menempuh perjalanan yang jauh dan perlu bertapa di tanah perkuburan, perigi tinggalan dan rumah usang. Walaupun menghadapi pelbagai ujian ketika bertapa mereka masih belum berputus asa dan akhirnya meraka bertiga sebagai berjaya bergelar Pendekar Bujang Lapok. Begitu juga zaman kini, acap kali kita terdengar atau terbaca di dada-dada akhbar yang warga emas mampu megengam segulung ijazah walaupun usia mereka telah lanjut namun berjaya membuktikan bahawa faktor usia bukan penghalang untuk bejaya.

5.      Menjauhkan Amalan Nepotisme Dan Kronisme dalam masyarakat
Amalan kronisme dan nepotisme akan menafikan hak orang biasa yang berkelayakan untuk memperoleh pendapatan dan kuasa. Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kronisme boleh didefinisikan sebagai amalan yang mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan-kawan rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya manakala nepotisme pula bermaksud melebihkan saudara-mara serta rakan-rakan yang ada hubungan dan bukannya penilaian objektif bagi keupayaan, meritokrasi atau kesesuaian terhadap sesuatu jawatan. Contohnya, tawaran jawatan kosong kepada saudara-mara, walaupun masih ada lagi orang lain yang lebih layak serta sanggup melaksanakan tugas sedemikian.

 KESIMPULAN

Tamadun merupakan keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangaan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi peradaban. Tamadun juga membawa maksud mengasaskan dan membina kehidupan perbandaran dan kehalusan budi pekerti. Istilah tamadun yang digunakan pada masa kini pula merujuk kepada suasana kehidupan yang maju dari segi fizikal dan moralnya.
Terdapat beberapa ciri-ciri tamadun antaranya ialah sistem bahasa dan sistem tulisan, urbanisasi atau pembentukan bandar, stratifikasi sosial, agama dan kepercayaan. Bahasa dan tulisan adalah alat untuk berkomunikasi, untuk merakam dan menyampaikan warisan mereka kepada golongan yang akan datang sebagai khazanah tamadun mereka. Stratifikasi sosisal pula adalah peranan Setiap individu yang menjadi anggota dalam satu lapisan masyarakat yang tersusun dan memain peranan terentu mengikut kedudukannya dalam lapisan masyarakat.
Nilai kemanusian atau nilai murni ditakrifkan sebagai tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Antara nilai-nilai kemanusiaan ialah seperti Berbudi Bahasa, Semangat Setia Kawan, Kerjasama, Hormat-menghormati dan sebagainya.
Kedatangan Islam membawa banyak perubahan dan kesan kepada corak pemikiran dan sosio budaya masyarakat Melayu. Agama Islam telah membawa ajaran dan tamadun yang lebih tinggi dan lengkap, lebih rasional dan logik serta lebih mudah diterima oleh masyarakat Melayu. Antara sumbangan tamadun Islam zaman ialah kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan, perkembangan bahasa dan penulisan, pembaharuan dalam aspek sosial, dan penghapusan sistem kasta.